Semasa

KSM lapor polis isu eksploitasi kuota pekerja warga asing – Steven Sim

Isu eksploitasi terhadap sistem kelulusan kuota pekerja warga asing bagi membawa masuk ribuan pekerja ke dalam sektor perkhidmatan sudah dilaporkan kepada pihak polis.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas mesyuarat jawatankuasa bersama pertama mereka mengenai pengurusan pekerja asing di Putrajaya semalam.

“Kementerian telah membuat laporan polis meminta siasatan terhadap pemegang ID (pemohon kuota).

“Setakat ini kami telah mengenal pasti seorang majikan, dan kami akan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang perlu,” kata Sim.

November lalu, media melaporkan kegiatan sindiket yang mengeksploitasi sistem itu bagi memperoleh wang dengan sama ada menjual kuota kepada syarikat atau ejen lain atau dengan menjual atau menyewakan pekerja.

Tindakan itu mengakibatkan beratus-ratus pekerja asing – yang ditipu apabila menganggap mereka mempunyai pekerjaan menunggu mereka di negara ini – dalam kesempitan.

Sementara itu tambahnya, kementerian akan menjalankan siasatan sendiri berhubung skandal itu dengan siasatan tidak hanya tertumpu kepada isu penipuan dan jenayah komersial.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan siasatan yang dijalankan akan melibatkan kakitangan Kementerian.

BACA LAGI: KDN, KSM senarai hitam majikan tipu pekerja asing di Pengerang

Sementara itu Menteri Dalam Negeri ketika mengulas mesyuarat yang diadakan berkata, kerajaan telah bersetuju membenarkan pekerja asing bertukar majikan bagi mengisi keperluan dalam sektor perladangan dan pertanian yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

Pertukaran itu merentasi industri yang mana pekerja dibenarkan bekerja di industri lain sekiranya sektor sepatutnya sudah penuh.

“Majikan sudah bawa masuk dan terang-terang dia tidak boleh sediakan pekerjaan, jadi kita benarkan pertukaran majikan dibuat membabitkan pekerja,” kata Saifuddin.

Related Articles

Back to top button