Negeri

MAIS yakinkan penyumbang zakat, pastikan wang diurus dengan baik tanpa diseleweng walaupun 1 sen

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi keyakinan bahawa tidak akan berlaku lagi sebarang penyelewengan wang yang disumbangkan kepada agensi agama di bawahnya pada masa akan datang.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya mesti memberikan keyakinan kepada semua penyumbang zakat bahawa wang zakat mereka diuruskan dengan baik, tanpa ada penyelewengan walaupun satu sen.

“Dalam laporan media, ada wang zakat sebuah majlis agama Islam negeri diselewengkan dalam jumlah besar, dan termasuk juga (kes) Selangor tetapi tidak banyak.

“Jadi sekarang ini, kita tidak mahu perkara itu berulang lagi, kita ambil tindakan kepada sesiapa terbabit dan memberi ingatan supaya perbuatan itu jangan sekali-kali diulang lagi dalam institusi agama Islam Selangor.

“Yang berlaku baru-baru ini, yang tersiar di media itu (ada kes yang berlaku) di Lembaga Zakat Selangor (tetapi) tidaklah banyak.

“Tetapi kita sudah buat tindakan susulan dengan membuat laporan polis dan sebagainya supaya perkara itu tidak berulang lagi,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MAIS dan Majlis Perutusan Pengerusi MAIS tahun 2024 di Auditorium Dahlia, di Shah Alam, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan, polis menyiasat empat kes pecah amanah berkait kutipan zakat masing-masing dua kes di Selangor, satu kes di Terengganu dan satu kes di Perak berjumlah RM9.7 juta.

Pada 5 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan berkata, entiti tersebut amat menitikberatkan amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat diurus dengan baik.

“LZS amat memandang serius terhadap sebarang salah laku yang membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat terlibat.

“Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas,” katanya.

Mengulas mengenai Pelan Anti Rasuah MAIS yang dilancarkan hari ini katanya, pelan berkenaan menggariskan lima bidang utama iaitu Pengurusan Pentadbiran, Perolehan, Projek, Agihan dan Sumbangan Baitulmal.

“Sebanyak 39 Inisiatif diwujudkan bagi mencegah gejala rasuah berlaku dalam agensi Islam membabitkan seluruh warga MAIS, agensi dan anak syarikat serta institusi yang menjalankan fungsi MAIS seperti masjid, surau dan sekolah agama Islam.

“MAIS berharap agar pelan ini dapat dipatuhi oleh setiap warga kerja MAIS bagi memastikan institusi agama Islam di Selangor sentiasa cekap, telus dan berintegriti selain peningkatan kawalan daripada aspek pengauditan dan kawalan risiko dalaman serta luaran bagi memastikan kredibiliti dan integriti organisasi sentiasa terpelihara,” katanya.

Related Articles

Back to top button