ekonomi

Misi MITI ke Itali raih potensi pelaburan RM2.84 bilion – Tengku Zafrul

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan berjaya memperoleh potensi pelaburan sejumlah RM2.84 bilion dan potensi eksport produk dan perkhidmatan Malaysia sebanyak RM500 juta.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, ia hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Milan dan Turin, Itali diketuainya dari 12 hingga 16 Januari lalu.

Tambahnya, pada misi tersebut beberapa pertemuan dengan syarikat terkemuka Itali dalam sektor automotif, aeroangkasa, semikonduktor, makanan, biofuel serta jentera dan peralatan dan mencapai kemajuan penting dalam memupuk hubungan ekonomi serta menarik potensi pelaburan dan perdagangan.

Antara syarikat utama tersebut termasuklah STMicroelectronics, EDA Industries serta Leonardo’s Helicopter and Aircraft Divisions.

“Semasa mesyuarat bersemuka tertutup, syarikat-syarikat ini mengemukakan rancangan pelaburan mereka di Malaysia dan menunjukkan komitmen untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu bagi pindahan pengetahuan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi di negara ini.

“Misi itu juga mengadakan lawatan ke kilang Leonardo Helicopter and Aircraft Divisions di Milan dan Turin.

“Pemain global dalam industri aeroangkasa menyatakan minatnya untuk meneroka usaha niaga baharu di Malaysia bagi menyokong operasi serantaunya pada masa depan,“ kata MITI melalui satu kenyataan.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Pertemuan dengan Fererro International S.A, syarikat utama dalam pengeluaran makanan berasaskan coklat dan koko dan ENI Trade and Biofuels S.p.A, anak syarikat ENI S.p.A, yang merupakan salah satu syarikat petroleum dan gas terbesar di Itali membuka potensi eksport produk dan perkhidmatan untuk Malaysia.

“Hasil daripada misi itu mencerminkan komitmen kita untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

“MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memastikan kejayaan merealisasikan potensi pelaburan dan eksport ini, yang merupakan kunci ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia, seperti yang dirancangkan dalam Pelan Induk Perindustrian (NIMP) 2030,“ tambahnya.

Related Articles

Back to top button