Pemukiman jemaah menteri bincang ikhtiar lonjak ekonomi negara – PM Anwar
Sesi pemukiman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri yang dijadualkan hari ini akan memberi tumpuan mencari ikhtiar baharu melonjakkan ekonomi negara.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pemukinan kali kedua ini turut akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.
“Kita akan lihat juga ke hadapan ini, apa lagi pelaksanaan dasar yang boleh bawa kita terus maju ke hadapan, apa langkah-langkah spesifik yang diperlukan.
“Kita sudah ada prakarsa dari segi peralihan tenaganya (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), transformasi digitalnya, pelaburan tetap dan kita nak cari benda baharu untuk tingkat kekuatan negara,” jelasnya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Selasa.
Anwar sebelumnya menyempurnakan pelancaran Program AI Untuk Rakyat yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
BACA LAGI : PM Anwar sasar sejuta rakyat ikuti kursus kefahaman asas AI setahun
Sesi pemukiman Perdana Menteri bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan diadakan selama dua hari di Cyberjaya.
Sesi pemukiman pertama diadakan di Putrajaya pada Jan tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian di dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu jelas Anwar, pemukiman kali ini turut akan memberi tumpuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan memastikan tiada negeri akan tercicir dari usaha itu.