Anwar

PM Anwar kirim poskad kepada Antonio Guterres, tanda simbolik solidariti Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas Palestin Merdeka sebagai tanda solidariti Malaysia bersama rakyat negara itu yang mengharungi detik mencabar ketika ini.

Poskad tersebut ditujukan khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menggesa kemerdekaan buat Palestin serta mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dari rejim Zionis.

“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB.

“Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Poskad Palestin Merdeka menampilkan imej dua tangan erat berpegangan, berlatarbelakangkan bendera Palestin dengan turut menampilkan gambar bunga kebangsaan.

Gambaran menyentuh hati ini melambangkan aspirasi rakyat negara Malaysia untuk kemanan yang berkekalan.

Poskad khas ini membolehkan rakyat Malaysia berkongsi harapan demi keamanan dan keadilan dengan membelinya bermula esok (Khamis) di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam hantaran di Facebook berkata, Malaysia sentiasa konsisten demi keadilan dan kesejahteraan dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin.

“Mari kita bersama-sama bersuara untuk mendesak agar hak mereka sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat menjadi satu kenyataan.

“Penyertaan penuh rakyat Palestin sebagai anggota PBB merupakan suatu langkah yang ketara dalam mengiktirafkan hak-hak asasi mereka dan memperjuangkan penyelesaian politik yang berkekalan dalam konflik yang sedang melanda saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Menurut Fahmi, sebagai anggota penuh PBB, Palestin boleh memperjuangkan kepentingan negara mereka dengan secara efektif di peringkat antarabangsa yang seterusnya menjadi pemegang taruh dalam proses pembuat keputusan.

“Sokongan serta dorongan amat diperlukan untuk memajukan pembangunan sosial, budaya dan ekonomi di bumi keramat ini.

“Aspirasi dan impian warga-warga Palestin harus didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button