Program turun padang ke IPT jadi medium dengar suara warga kampus – KPT
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyarankan kerjasama pihak industri dengan kolej komuniti dalam merangka program yang dapat melahirkan siswazah yang dapat memenuhi pasaran.
Dalam satu kenyataan pada Selasa beliau berkata langkah itu mampu menjana ekonomi negeri dengan lebih mampan dan sejahtera.
“Saya juga mahu melihat proses pemindahan ilmu kepada masyarakat turut berlaku dalam kalangan pendidik dan pelajar kolej komuniti dan politeknik.
“Ini memandangkan kedua institusi ini bukan sekadar melahirkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja terutamanya bidang kemahiran terkini dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Dr Zambry turut mengingatkan kerjasama komuniti setempat dengan kerajaan negeri juga penting dalam menentukan keperluan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang bersesuaian untuk penuntut.
Terdahulu Dr Zambry mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM),
Dalam lawatan julung kalinya ke kolej komuniti dan politeknik itu, beliau mengambil maklum berkenaan keperluan KKJ dan PMM dalam meneruskan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat setempat.
Sementara itu tambah kenyataan tersebut, program turun padang ke institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara agenda utama KPT dalam usaha mengangkat imej IPT di seluruh negara termasuk institut pengajian tinggi awam, swasta, politeknik serta kolej komuniti.
Dalam pada masa sama ia menjadi medium mendengar dan mendekati mahasiswa, tenaga pengajar dan warga kampus.