Usaha noktahkan kemiskinan tegar mula tunjuk hasil – PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha kerajaan ke arah menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini sudah mula menunjukkan hasilnya.
Katanya, dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan berjaya mencapai sasaran itu tahun lalu walaupun beliau mengakui masih ada keciciran jumlah miskin tegar di dua negeri tersebut walaupun bilangannya tidak ramai.
“Kemiskinan tegar ini sudah dinoktahkan di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, namun masih ada satu dua keciciran,” katanya ringkas kepada pemberita selepas pelancaran Program Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Putra Malaysia UPM pada Selasa.
Beliau sebelumnya ditanya mengenai usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan yang dilaksanakan tahun lalu.
BACA LAGI: Negeri Sembilan berjaya capai sasari sifar miskin tegar
Kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapuskan miskin tegar adalah menjelang 2025, namun disingkatkan kepada tahun ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.