KSM naikkan peruntukkan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja lebih sekali ganda
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan peruntukan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dinaikkan kepada RM5.8 juta pada tahun ini, berbanding RM2.6 juta tahun lalu.
Melalui satu kenyataan Steven berkata, ia selaras dengan pendirian kementeriannya untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara, sekali gus memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.
Selain peruntukan bagi program itu, had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga jelasnya turut dinaikkan daripada RM10,000 tahun lalu kepada RM20,000 tahun ini.
Langkah itu jelasnya bagi tujuan memperkasa pengurusan.
BACA LAGI: Peningkatan peruntukan bukti kerajaan serius tegak syiar Islam
“Pemberian geran PHEKS berkenaan adalah tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
“Dua Jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan penilaian permohonan, iaitu Jawatankuasa Teknikal PHEKS dan Jawatankuasa Panel Penilai/Pelulus PHEKS,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.
Sementara itu jelasnya, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) akan mempromosi geran dan program di bawah PHEKS kepada semua kesatuan sekerja melalui Pejabat Negeri JHEKS di seluruh negara selain sesi taklimat secara bersemuka serta pengiklanan di laman sesawang jabatan, iaitu jheks.mohr.gov.my.
“Justeru, semua kesatuan sekerja disaran untuk menyertai inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” tambahnya.