Malaysia sertai pakatan peralihan tenaga bersih negara membangun
Malaysia menyertai pakatan peralihan tenaga bersih negara membangun bagi meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan tenaga bersih, berkongsi amalan terbaik dan mempercepat transisi tenaga dalam kalangan negara membangun.
World Economic Forum (WEF) ketika mengumumkan perkara itu pada Rabu berkata, selain Malaysia, pakatan itu disertai lebih 20 Ketua Pegawai Eksekutif dan Menteri termasuk dari negara seperti Colombia, Mesir, India, Jepun, Malaysia, Maghribi, Namibia, Nigeria, Norway, Kenya, dan Afrika Selatan.
Pakatan itu jelas WEF merupakan satu pentas kerjasama untuk negara anggota untuk mempercepat penyelesaian modal untuk tenaga bersih, melalui dasar yang berinovasi, model perniagaan baharu, dan mekanisme pembiayaan selain berkongsi amalan terbaik untuk menarik kemasukan modal dalam teknologi baharu yang lebih mampan.
Peralihan tenaga bersih menurut WEF adalah penting untuk menangani kecemasan iklim, tetapi tahap pelaburan semasa jelas WEF kekal jauh di bawah skala dan kadar perubahan yang diperlukan.
“Membuka ruang kepada pembiayaan bukan sahaja langkah pertama yang penting ke arah sistem tenaga yang selamat dan saksama, tetapi mewakili peluang yang jelas untuk perniagaan, kerana ekonomi sedang pesat membangun menyumbang bahagian terbesar penduduk global,” kata Roberto Bocca, Ketua Pusat Tenaga dan Bahan WEF seperti dilapor media.
BACA LAGI: Malaysia diiktiraf negara terbaik dalam Indeks Peralihan Tenaga di Asia Tenggara
Difahamkan, pakatan itu akan dipengerusikan oleh dua pemimpin global iaitu Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Rania A. Al-Mashat, dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Afirca Finance Corporation, Samaila Zubairu.
Sementara itu menurut Rania, kerjasama yang terjalin akan memainkan peranan penting dalam menyatukan peserta industri awam dan swasta untuk menentukan keperluan pelaburan, memecahkan halangan, dan mencari penyelesaian praktikal untuk peralihan tenaga yang adil, saksama dan mampan di Global Selatan.
“Ini akan menjadi ruang baharu untuk ekonomi sedang pesat membangun bertukar-tukar amalan terbaik dan pengajaran yang dipelajari, serta memupuk kerjasama di sekitar strategi rantaian nilai, dasar kawal selia dan mekanisme pelaburan,” katanya.
Memetik laporan itu, keseluruhan pelaburan tahunan bagi tenaga bersih di rantau Global Selatan perlu mencapai tahap tiga kali ganda berbanding AS$770 bilion ketika ini kepada AS$2.2 trilion hingga AS$2.8 trilion menjelang 2030.