Pemukiman Jemaah Menteri memberdaya iltizam untuk merealisasi ekonomi MADANI – JPM
Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang akan berakhir hari ini tidak hanya menumpukan usaha mencari ikhtiar baharu bagi melonjakkan ekonomi negara.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, program dua hari bermula semalam turut membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.
Program itu juga memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.
“Program ini dilaksanakan selaras hasrat Perdana Menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun 2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang.
“Di samping itu, program juga bertujuan mencapai penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government dan whole of nation’,” kata JPM dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Pemukiman jemaah menteri bincang ikhtiar lonjak ekonomi negara – PM Anwar
Sesi Pemukiman kali kedua di di Cyberview Resort @ Spa, Cyberjaya itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 31 Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan 15 orang jemputan khas.
Antara perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termasuk cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara.
Program turut membawa beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa.