Penting untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB – Fahmi Fadzil
Penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan langkah penting dalam mengiktiraf hak-hak asasi mereka dan memperjuang penyelesaian konflik yang melanda negara itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuang hak setiap rakyat Palestin termasuk mendesak supaya negara itu diterima sebagai anggota penuh PBB.
“Sebagai anggota penuh PBB, rakyat Palestin berupaya untuk menjadi pemegang taruh dalam proses pembuatan keputusan yang bakal mempengaruhi masa depan mereka.
“Demi keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat Palestin, mari kita bersama-sama bersuara untuk mendesak agar hak mereka sebagai anggota penuh PBB dapat menjadi satu kenyataan,” menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan itu dalam hantaran di laman Facebook.
Hantaran itu turut disertakan beberapa gambar memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin
Poskad khas yang turut menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan itu akan diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB.
BACA LAGI: PM Anwar kirim poskad kepada Antonio Guterres, tanda simbolik solidariti Malaysia
Sementara itu tambah Fahmi, penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh PBB akan membuka ruang kepada sumber daya dan perwakilan politik diperlukan di peringkat antarabangsa untuk memperjuang kepentingan penduduk wilayah itu secara efektif.
Beliau berkata sokongan serta dorongan amat diperlukan untuk memajukan pembangunan sosial, budaya dan ekonomi di bumi keramat itu.
“Aspirasi dan impian warga-warga Palestin harus didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Terdahulu, perdana menteri menerusi hantaran di laman Facebooknya mengajak seluruh rakyat untuk turut serta dalam kempen Pengiriman Poskad Khas Palestin Merdeka kepada Guterres supaya badan dunia itu menerima Palestin sebagai anggota penuhnya.
Rakyat boleh berbuat demikian dengan membeli poskad itu mulai hari ini di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd.