‘Saya kaku, Permaisuri agak rileks baca berita’ – Agong
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara peribadi menyifatkan penampilan istimewa baginda membaca berita buat kali pertama semalam, sebagai kaku.
Seri Paduka bertitah pengalaman mencemar duli membaca berita pada slot istimewa Buletin Diraja pada Buletin Utama di TV3 bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga lebih susah daripada menyampaikan titah ucapan.
“Baca berita semalam, saya begitu kaku. Permaisuri agak rileks. Mungkin dia (Tunku Azizah) sudah ‘practice’ banyak kali, tapi sebenarnya ramai yang tidak tahu dalam bilik itu (studio berita) sejuk sekali. Kalau tak percaya, eloklah lawat bilik berita,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Titah Diraja semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Negara Sungai Relau di Kuala Lipis, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Malam tadi, buat julung kalinya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong membuat penampilan istimewa membaca berita selama hampir 15 minit selepas berkenan menerima undangan istimewa untuk berbuat demikian.
Semalam, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat mengadakan kunjungan diraja ke Sri Pentas Bandar Utama.
Dalam pada itu, kunjungan lebih bermakna apabila Baginda berdua turut mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita Media Prima untuk menyampaikan berita.