Semasa

Laporan: SPRM panggil anak bekas PM, siasat dakwaan kes rasuah perniagaan lewat 90-an

Anak sulung kepada seorang bekas Perdana Menteri dilapor hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Menurut laporan media, individu tersebut yang juga seorang ahli perniagaan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam aktiviti perniagaanya sekitar 1990-an.

Sumber yang mengetahui mengenai siasatan tersebut dipetik The Star berkata, anak bekas pemimpin negara itu sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM beberapa minggu lalu untuk merekodkan kenyataannya berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan.

Siasatan dakwanya dibuat berikutan dakwaan syarikat milik individu berkenaan telah membeli anak syarikat milik entiti perniagaan berkaitan kerajaan melalui dasar penswastaan ketika itu sebelum menjual syarikat tersebut kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh setahun dan dipercayai memperoleh keuntungan berjumlah ratusan juta ringgit.

BACA LAGI: Sultan Ibrahim tekad lawan rasuah, hentikan ketidakstabilan politik dicetuskan ‘perenggus’

“Hari ini (Rabu), penyiasat telah memanggilnya sekali lagi untuk menyerahkan notis, memerlukan dia mengisytiharkan semua asetnya, sama ada di luar negara atau di dalam negara, secara bertulis,” kata sumber yang tidak dinamakan itu.

Sumber tersebut turut mendakwa, lelaki itu tersenarai dalam dokumen Offshore Leaks pada April 2013 yang pendedahan kebocoran maklumat 130,000 akaun pesisir luar pantai yang memperincikan maklumat kewangan peribadi mengenai individu dan pegawai kerajaan yang sebelum ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada kes SPRM itu berkaitan atau tidak dengan pendedahan berkenaan.

Sementara itu, Astro Awani dalam laporan di portalnya malam tadi mengesahkan suruhanjaya itu memanggil individu tersebut, pengesahan itu berdasarkan kenyataan seorang sumber SPRM yang dihubungi mereka.

Related Articles

Back to top button