Semasa

Draf berhubung RUU Majlis Media Malaysia sudah disiapkan – Timbalan Menteri Komunikasi

Draf Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung rang undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) sudah disediakan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, draf itu yang mengandungi cadangan serta dasar berkaitan rang undang-undang dijangka akan dibentang kepada Jemaah Menteri dan kementerian seterusnya akan memaklumkan kepada jawatankuasa kerja sementara MMC berhubung keputusan jemaah.

“Jika jawatankuasa kerja sementara bersetuju dengan hala tuju rang undang-undang ini, kita akan hantar draf rang undang-undang MMC kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk kelulusan… apabila sudah diluluskan oleh AGC dan sekali lagi dibentang ke Jemaah Menteri serta diluluskan, kita boleh bawa ke Parlimen,” katanya dipetik laporan Bernama.

Sebelum ini, kementerian komunikasi menjangkakan RUU itu yang antara lain menggariskan mekanisme kawal selia industri media dapat dibentang di Dewan Rakyat pada Mac ini.

MMC meliputi seluruh media di negara ini, iaitu media cetak, media elektronik (penyiaran) dan media internet dan bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar/ media, sekaligus menjaga kepentingan negara antara lain melalui liputan yang objektif serta tidak berat sebelah.

BACA LAGI: Majlis Media Malaysia bakal jadi medium sistem aduan laporan berita

Sementara itu Teo ketika ditanya sama ada rang undang-undang itu dapat dibentang pada sesi Dewan Rakyat dari 26 Feb hingga 27 Mac berkata, pihaknya optimis ia dapat dibentang mengikut garis masa yang diharapkan.

“Prosesnya masih berlangsung, masih ada peluang untuk kita bentang pada Mac ini… saya tak boleh menafikan mungkin berlakunya kelewatan di sana sini, kalau tidak sempat dibentang pada Mac ini, kita akan bentang dalam persidangan pada Jun,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button