Negeri

Negeri Sembilan peruntuk RM500,000 bantu golongan nelayan

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri Sembilan bagi membantu golongan nelayan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan menerusi Insentif Galakan Nelayan (Ingen) itu berupa geran berjumlah antara RM5,000 hingga RM15,000 seorang bertujuan untuk membeli kelengkapan, alatan dan bagi tujuan baik pulih bot.

Tambahnya, berdasarkan rekod pada 29 Oktober 2022, seramai 12 orang nelayan telah menerima bot fibre, 30 nelayan menerima enjin bot dan 19 nelayan menerima pelbagai jenis peralatan menangkap ikan.

“Itu adalah antara komitmen kerajaan negeri selepas negara dilanda wabak Covid-19. Kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memberikan bantuan dan sokongan kepada pengeluar makanan yang meliputi nelayan dan penternak akuakultur kerana mereka merupakan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem makanan negara.

“Pembangunan perikanan laut dan perikanan darat perlu dipertingkatkan melalui galakan inovasi dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi serta kepelbagaian spesis kultur bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara,” katanya.

BACA LAGI: Enam inisiatif bantu petani, penternak, peladang dan nelayan terjejas akibat banjir

Aminuddin berkata begitu pada ucapan di Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Negeri Sembilan di Port Dickson pada Khamis.

Terdahulu pada majlis berkenaan, seramai 276 orang nelayan menerima Elaun Sara Hidup Nelayan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM82,800 secara tunai.

Related Articles

Back to top button