Negeri

Pelarasan tarif air: Selangor ambil langkah susulan, pastikan pengguna tidak terlalu terkesan

Langkah susulan akan dilaksana Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu pengguna air di negeri ini yang terkesan dengan pelarasan kadar tarif air bermula 1 Feb depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara langkah yang bakal diambil termasuk memastikan Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang merupakan program pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Selangor berpendapatan rendah di negeri itu dapat diteruskan.

Beliau turut memberitahu, hasil lebihan dari pelarasan tarif itu juga akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan bekalan air yang lebih baik.

“Ada beberapa langkah yang kita (kerajaan negeri) akan perkenalkan bagi mengurangkan beban sesetengah kumpulan yang dijangka terbeban susulan pelarasan terbabit. Kita juga akan umumkan (kadar) lebih murah…kalau boleh saya maklumkan di sini, antara RM1.50 sehingga RM6.

“Dengan pelarasan kadar tarif air ini, kita akan pulangkan kembali kepada rakyat termasuk penggantian paip dengan tahun ini kita tingkatkan kepada 300 kilometer (km) (penggantian) berbanding tahun sebelum iaitu kira-kira 150 km panjang paip,” katanya.

Amirudin sebelumnya menyempurnakan Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor di Shah Alam pada Khamis.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada rabu mengumumkan bermula 1 Feb ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan.

Pelarasan itu, yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif dengan struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

BACA LAGI: Pahang cadang beri subsidi air kepada golongan B40

Di Selangor, dijangkakan 49 peratus akaun pengguna Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal terkesan berikutan tarif baharu itu nanti.

Sementara itu, Amirudin berkata pelarasan tarif air itu perlu dilaksanakan dalam usaha menjamin kelestarian modal dan pelan perniagaan Air Selangor untuk jangka masa panjang selain memastikan perkhidmatan air terbaik dapat diberikan kepada rakyat di negeri itu.

Related Articles

Back to top button