Pemukiman Menteri: kerajaan buat penilaian, perbaiki kelemahan dalam perkhidmatan
Kerajaan Perpaduan membuat penilaian untuk memperbaiki setiap ruang yang ada bagi mengangkat martabat serta keupayaan negara supaya menjadi lebih hebat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian itu termasuk membabitkan soal pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan dilakukan semasa program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang diadakan di Cyberjaya pada Rabu dan Khamis.
Tambahnya penilaian dijalankan berdasarkan input sektor swasta, penyelidik, ilmuwan dan pakar antarabangsa selain pandangan serta cadangan Jemaah Menteri pada sesi tersebut.
“Ramai penyelidik atau pakar yang beri sumbangan yang sangat bermutu dan melalui pemukiman ini.
“Saya dan rakan-rakan Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) memberi senario secara terbuka, sangat mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baharu,” katanya dalam satu sidang media sempena pemukiman itu semalam.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan sesi pemukiman di Cyberview Resort @ Spa, Cyberjaya dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 31 Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan 15 orang jemputan khas itu menumpukan usaha mencari ikhtiar baharu bagi melonjakkan ekonomi negara.
Program itu juga memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.
BACA LAGI: Pemukiman Jemaah Menteri memberdaya iltizam untuk merealisasi ekonomi MADANI
Sementara itu Anwar berkata, turut diberi penekanan semasa program pemukiman ialah peralihan tenaga, transformasi digital, pelan perindustrian serta reformasi perkhidmatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara.
“Perbincangan itu menyeluruh tentunya menekan perpaduan rakyat dan negara serta kestabilan politik yang menjadi prasyarat bagi kita melaksanakan program-program.
“Kemudian kita bicara soal ekonomi untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara, dan juga memfokus kepada beberapa isu khusus meningkatkan isu pendidikan negara termasuk TVET dan pendidikan teknologi, soal digital, AI (Kecerdasan Pintar) dan juga beberapa isu yang telah kita cerakinkan dalam beberapa dasar sebelumnya,” tambahnya.
Dalam sidang media itu beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Kabinet yang telah menjayakan program itu yang disifatkan sebagai berprestasi tinggi serta membanggakan.