Semasa

Perlekeh masyarakat India: AMK lapor polis kenyataan Mahathir

Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Khamis memfailkan laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataannya yang memperlekeh masyarakat India di negara ini.

Laporan itu dibuat melalui Ahli Majlis Kepimpinan AMK Pusat, M. Sathasivam di Balai Polis Travers pada 5 petang petang semalam.

Sathasivam ditemui pemberita selepas membuat laporan itu berkata, Mahathir selaku bekas Perdana Menteri perlu berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini malah menjejaskan usaha Kerajaan Perpaduan memulihkan semula ekonomi negara.

“Tun (Dr Mahathir) perlu berhenti keluarkan kenyataan seperti itu, ia menggambarkan keadaan politik Malaysia tidak menentu dan akan menakutkan pelabur asing untuk melabur di sini,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran televisyen satelit India Thanthi TV mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Kenyataan Mahathir itu kemudian dikritik banyak pihak malah dianggap satu penghinaan terhadap perpaduan pelbagai kaum yang dibina dengan nilai kesetiaan tanpa berbelah bagi.

BACA LAGI: ‘Tak perlu persoal kesetiaan rakyat kepada negara’ – Rafidah Aziz

Sementara itu Sathasivam turut mempersoalkan niat Mahathir membuat kenyataan tersebut, sedangkan jelasnya Mahathir sendiri pernah menikmati sokongan kedua-dua masyarakat itu ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini.

“Kini bila kaum Cina dan India tidak lagi memberikan sokongan kepada dia, kami dikatakan tidak setia kepada negara,” tambahnya sambil menegaskan pihaknya akan mengarahkan cabang AMK seluruh negara membuat laporan polis berhubung kenyataan Mahathir itu.

Related Articles

Back to top button