Semasa

Fitnah terhadap KSN cubaan cetus sentimen buruk – Ceupacs

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan fitnah yang tular mendakwa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Zuki Ali disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai percubaan mencetuskan sentimen buruk terhadap anggota perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebar fitnah itu bagi mengelak perkara sama berleluasa sehingga menggugat kepercayaan rakyat .

Tambahnya, sekiranya tiada tindakan diambil terhadap dalang fitnah, dibimbangi nama perkhidmatan awam akan dipergunakan sebagai modal individu tertentu menyebarkan kebencian dan melaga-lagakan pemimpin kerajaan.

“Budaya menyebarkan fitnah ini perlu dihentikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa neutral dan profesional dalam setiap tindakan.

“CUEPACS sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang sememangnya sangat tidak berasas dan boleh memberi implikasi negatif kepada institusi perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan kepada kerajaan.

“Dalam hal ini CUEPACS menolak sebarang campur tangan daripada pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu untuk turut sama melibatkan institusi perkhidmatan awam terutama Ketua Setiausaha Negara dalam agenda mereka,” kata Ceupacs dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Terdahulu tular mesej di media sosial antara lain mendakwa kononnya Tan Sri Zuki Ali disiasat SPRM kerana memiliki kekayaan luar biasa walaupun bekerja dalam perkhidmatan awam.

BACA LAGI: Tuduhan tular terhadap KSN di media sosial palsu, tegas SPRM

Susulan itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tambil menafikan perkara itu dan menegaskan dakwaan di media sosial itu adalah palsu.

Sementara itu CUEPACS menasihati penjawat awam untuk terus menyokong agenda Malaysia MADANI yang diinspirasikan oleh kerajaan semasa.

Justeru, Adnan berharap penjawat awam kekal fokus dan mengekalkan profesonalisme dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat sekaligus menyokong usaha pentadbiran perdana menteri untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa

“CUEPACS sentiasa menyokong usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekiranya terbukti berlaku tetapi menolak budaya fitnah yang hanya merosakkan keharmonian negara.

“Marilah kita bersama-sama bina negara untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat selain fokus kepada agenda pemulihan ekonomi negara demi kemakmuran negara berlandaskan aspirasi Malaysia MADANI,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button