Sukan

Harimau Malaya terima kunjungan mengejut Menteri Belia dan Sukan di Qatar

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah melakukan kunjungan secara mengejut ke sesi latihan skuad Harimau Malaya untuk hadapi perlawanan menentang Bahrain di Qatar University, semalam.

Kehadiran Hannah adalah untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya yang akan berdepan dengan pasukan Bahrain.

Menerusi hantaran di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kehadiran Hannah dan ribuan penyokong Harimau Malaya ke Stadium Jassim Bin Hamad bagi perlawanan kedua Kumpulan E itu nanti pastinya akan meningkatkan lagi semangat skuad kendalian Kim Pan Gon.

“Hannah yang diiringi Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin berkesempatan bertemu sendiri dengan para pemain bagi memberikan suntikan motivasi kepada mereka menjelang aksi bertemu Bahrain, esok.

“Harimau Malaya (akan) mempamerkan aksi lebih bertenaga berdepan Bahrain nanti,” katanya.

Selepas kekalahan memeritkan kepada Jordan pada aksi pembukaan Isnin lepas (awal pagi Selasa), Malaysia perlu meraih tiga mata ke atas Bahrain jika mahu mencerahkan peluang layak ke pusingan 16 terbaik sebelum bertemu juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Pan Gon menyasarkan untuk membawa Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik buat julung kali selepas pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan pada tiga penampilan sebelum ini termasuk kali terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Related Articles

Back to top button