ekonomi

Kaedah pelaksanaan subsidi bersasar dijangka dimuktamad minggu depan

Menteri Ekonomi menjangkakan mekanisme pengagihan subsidi bersasar dapat dilaksana seawal suku kedua tahun ini.

Rafizi Ramli pada sidang media di Jabatan Perangkaan, Putrajaya pada Jumaat berkata, pasukannya perlu memproses data diperoleh daripada Pangkalan Data Utama (Padu) kerajaan pada suku pertama tahun ini.

“Maksudnya kalau keputusan berkenaan mekanisme dibuat minggu hadapan, pangkalan data perlu selesai menjelang 31 Mac, saya tidak merasakan kita susah payah bekerja keras kemudian nak laksanakan 2025.

“Maksudnya, berdasarkan suku tahun, suku pertama kita proses data dan kesiapsiagaan, jadi pada suku kedua kita sudah boleh laksanakan,” katanya dipetik.

BACA LAGI: Subsidi bersasar pastikan bekalan barang keperluan cukup di pasaran

Rafizi turut memaklumkan, kertas Kertas Memorandum Jemaah Menteri Berkenaan Mekanisma Penyasaran Semula Subsidi sudah dihantar dan keputusan mengenai bentuk dan pelaksanaan subsidi bersasar akan diputuskan Jemaah Menteri minggu depan.

“Ia akan diputuskan minggu depan. Selepas keputusan dibuat mengenai kaedah (kaedah termasuk kumpulan mana, berapa, siapa yang akan dapat dan sebagainya), itu membolehkan kerajaan mengumumkan bentuk bantuan subsidi bersasar selepas minggu depan.

“Terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bila masa sesuai akan dibuat pengumuman itu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button