Semasa

Kerajaan naik taraf sembilan stesen KTMB di Lembah Klang – Menteri Pengangkutan

Kerajaan Persekutuan akan menaik taraf sembilan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang selain membina satu stesen baharu di Seremban.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek dengan kos keseluruhan dianggarkan RM280 juta itu membabitkan stesen KTMB Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu Tiga, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang.

“Kabinet dua hari lepas setuju naik taraf sembilan stesen dan satu bina baharu. Ini komitmen kerajaan menyediakan infrastruktur baik dalam sistem rel ke arah menjadikan pengangkutan awam sebagai keutamaan untuk rakyat.

“Stesen, landasan dan perkhidmatan adalah penting kerana ramai mengeluh mengenai perkhidmatan kereta api masih lambat dari segi kekerapan disebabkan projek naik taraf landasan yang sedang berjalan,” katanya.

Loke berkata begitu pada sidang media selepas merasmikan Stesen Baharu Seremban Sentral pada Jumaat.

Stesen Seremban Sentral menitikberatkan warisan sejarah stesen asal selain mengintegrasikan aspek kemodenan dengan reka bentuk unik menggunakan konsep Minangkabau.

Dibina dengan rekaan dan mengambil kira pelepasan karbon sifar bersih, pengoperasinya dijangka dapat menjimatkan elektrik kerana menggunakan cahaya matahari dan tenaga dikitar semula.

BACA LAGI: Perkhidmatan van transit diperkenal, perkasa kesalinghubungan pengangkutan awam

Sementara itu menurut Loke, kerja naik taraf landasan perlu dijalankan serentak supaya ia tidak perlu dilakukan dalam beberapa tahun akan datang hingga menjejaskan orang ramai.

Pada masa sama, katanya, pihaknya turut membuat mitigasi lain termasuk menambah kekerapan tren berkenaan di sektor Lembah Klang.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengarahkan semua menteri untuk menjalankan kerja mereka dengan cepat, 2024 ialah tahun pelaksanaan dan kita perlu bertindak pantas,” katanya.

Related Articles

Back to top button