PBT

KKR cari penyelesaian jangka panjang perbaiki di laluan terjejas banjir

Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan permohonan berjumlah RM1.5 juta bagi menyelenggara jalan dan sistem pembentungan di Kulai Johor yang terjejas banjir pada Monsun Timur Laut ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laluan FT001 Jalan Senai – Gemas (TJ Mart Saleng & Susur Indahpura) di Kulai Johor merupakan antara laluan teruk yang terkesan akibat banjir.

Beliau berkata, pembinaan tambahan sistem pemebentung telah dicadang untuk dibina di Seksyen 18.0-29.0 Saleng bagi menyelesaikan permasalahan yang berlanjutan ini.

“Kemudahan infrastruktur dan sistem pembetung di sini tidak dapat menampung kepesatan pembangunan di kawasan sekitar di laluan ini.

“Ini antara usaha holistik bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dihasilkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, dalam tinjauan kerja ke negeri Johor pada Jumaat, Alexander mendapati kerja pembaikan jalan dengan anggaran kos RM3 juta perlu dilaksanakan di FT050 Jalan Batu Pahat – Mersing (Kem Askar Batu 3 – 5RAMD), Seksyen 57.50 – 61.30 (Daerah Kluang).

“Keadaan ini berlaku akibat bencana banjir yang kerap melanda lokasi ini.

“Difahamkan Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (Senggara FRM) JKR telah meneliti dan mencadangkan rawatan Cold In Place Recycling (CIPR) dan kerja berkaitan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jambatan Ulu Penggeli di FT091 Jalan Kota Tinggi – Kluang Seksyen 62.00 yang mengalami kerosakan akibat limpahan air deras dari hulu sungai juga disebabkan banjir turut akan diperbaiki dengan kos pembaikan berjumlah RM900,000.

Katanya, keadaan jambatan agak membimbangkan kerana berlaku mendapan pada struktur tanah yang berlaku di bawah jambatan dan dkhuatiri boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Related Articles

Back to top button