Negeri

Letak jawatan Speaker, Wan Junaidi bakal dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak ?

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor telah meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara pada Jumaat.

Difahamkan, perletakan jawatan itu susulan Wan Junaidi sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud .

Setakat malam tadi tiada pengesahan dibuat susulan dakwaan itu, namun seorang pembantu kepada Wan Junaidi dipetik Sinar Harian berkata bekas menteri undang-undang itu mungkin mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Pada Jun lalu, Wan Junaidi,78, keluar daripada persaraan demi berkhidmat untuk negara apabila menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menggantikan Tan Sri Rais Yatim, yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.

Sebagai rekod, Abdul Taib sebelum ini menjawat jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 1 Mac 2014.

Related Articles

Back to top button