ekonomi

Pelaburan, perdagangan kunci kepada kejayaan NIMP 2030 – Tengku Zafrul

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mempunyai matlamat untuk mempercepat transformasi perindustrian Malaysia dengan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia di samping memastikan integrasi yang lebih baik dengan rantaian nilai global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan aspek penting daripada hasil pelaburan yang dilaksanakan adalah pengetahuan dan kepakaran daripada syarikat-syarikat untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi landskap pembuatan Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan dalam NIMP 2030.

“Ini akan membantu menghasilkan perniagaan yang bernilai tinggi bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, serta pekerjaan yang lebih berkualiti dan bernilai tinggi untuk rakyat.

“Alhamdulillah, tahun ini telah dimulakan dengan positif dan saya optimis momentum ini akan diteruskan dengan komitmen semua pihak yang terlibat untuk menyusuli dan melaksanakan setiap keputusan dan tindakan susulan yang telah diputuskan,” katanya melalui hantaran Facebook setelah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPPP) yang pertama pada 2024 di Menara MITI pada Jumaat.

Terdahulu, Tengku Zafrul telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Industri Besi dan Keluli Malaysia bagi menyelaras strategi sektor tersbut dengan matlamat NIMP 2030.

“Ia juga memastikan pembangunan industri yang seiring dengan komitmen iklim negara dalam mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai karbon neutral menjelang 2050.

“Turut membincangkan keperluan industri dalam pembuatan produk yang diperlukan bagi industri fokus di bawah NIMP 2030 melalui kaedah yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau percaya dengan inovasi dan penyesuaian yang konsisten terhadap pembangunan industri, jawatankuasa yang mencerminkan dedikasi MITI ini akan memainkan peranan utama dalam mencapai matlamat NIMP 2030.

Related Articles

Back to top button