Umum

PM Anwar ucap takziah kepada keluarga ‘Grand Dame’ dalam politik kaum India di Malaysia, Devaki Krishnan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau turut berdukacita di atas pemergian itu dan menyifatkan Devaki Krishnan sebagai sosok penting yang sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.

“Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik negara.

“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” ucapnya.

Wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan meninggal dunia malam tadi pada usia 100 tahun.

Berita pemergian mendiang dikongsi cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

“Dengan penuh dukacita, dimaklumkan nenda saya, Tan Sri Devaki Krishnan telah meninggal dunia malam tadi. Kehilangannya di usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga.

“Kehilangannya tiada ganti. Kenangan bersamanya akan terus diabadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” katanya.

Menurut Ramanan, mendiang Devaki Krishnan merupakan seorang tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia sehingga diberi gelaran ‘Grand Dame of Malaysian Indian Politics’ dan hayatnya diabadikan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Jasa dan kepimpinannya mengangkat martabat wanita di mata dunia. Seorang pionir sebagai wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia dan meninggalkan warisan gemilang dalam sejarah politik negara,” katanya.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh merupakan cucu kepada Devaki Krishnan, wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, yang dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Untuk rekod, Tan Sri Devaki Krishnan dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Selain merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada NCWO.

Related Articles

Back to top button