Sukan

Kim Pan Gon ambil tanggungjawab atas kegagalan Harimau Malaya

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain.

Jurulatih dari Korea Selatan itu tidak menyalahkan sesiapa kecuali dirinya yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap barisan pemain.

“Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan…memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.

“Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih,” katanya seperti dilaporkan media.

Mengulas mengenai perlawanan menetang Bahrain, Pan Gon merasakan Harimau Malaya sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri, selain menganggap anak buahnya gagal untuk mendominasi permainan.

Namun, daripada sudut positif beliau melihat penampilan Malaysia pada edisi kali ini memberi pengalaman berguna kepada pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang selepas ini.

Kekalahan kepada Bahrain menyaksikan peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan 16 terakhir sudah tertutup rapat susulan keputusan seri 2-2 yang dicatat Korea Selatan dan Jordan, petang semalam.

Dalam pada itu, pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba menyifatkan Malaysia tidak bernasib baik untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023.

Mohamed Syamer yang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum digantikan dengan Natxo Insa pada babak kedua perlawanan berkata pasukan telah memberikan segalanya ketika bertahan mahupun menyerang sepanjang 90 minit permainan di Stadium Jassim Bin Hamad itu.

Namun, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, nasib lebih memihak Bahrain yang berjaya menemukan jaringan pada minit-minit akhir masa kecederaan babak kedua untuk mengesahkan kemenangan dalam pertemuan sulung kedua-dua pasukan itu di pentas Piala Asia.

Perlawanan di peringkat kumpulan masih berbaki satu iaitu menentang Korea Selatan di Stadium Janoub, Khamis ini.

Malaysia yang tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pertama Selasa lalu, menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata dan jaringan.

Related Articles

Back to top button