STR bakal ditambahbaik susulan penyasaran subsidi – Menteri KPDN
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali menjangkakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bakal ditingkatkan susulan perancangan kerajaan untuk melaksana penyasaran semula subsidi diesel dan petrol RON95.
Ditemui pemberita ketika meninjau Program Jualan Rahmah, di Padang Besar, Perlis pada Jumaat beliau menjelaskan, kementerian terbabit sedang membincangkan penambahbaikan kepada inisiatif pemberian tunai kepada rakyat itu.
“Untuk jangka panjang, KPDN, Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperkemaskan STR, pindahan tunai untuk rakyat kita dengan mengambil kira perancangan untuk kita melaksanakan penyasaran semula subsidi.
“Jadi, kita sedang mengadakan perbincangan, kerjasama rapat tiga kementerian yang terlibat ini kerana komitmen kerajaan tahun ini kita akan melakukan penyasaran semula subsidi secara berperingkat yang akan melibatkan komponen diesel dan juga petrol RON95,” katanya.
BACA LAGI: PADU dapat elak ketirisan pemberian subsidi, rakyat berhak nikmati manfaat
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Jumaat berkata, mekanisme pengagihan subsidi bersasar dijangka dapat dilaksanakan seawal suku kedua tahun ini.
Beliau turut memaklumkan memorandum Jemaah Menteri mengenai mekanisme penyasaran semula subsidi akan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu depan.
Sementara itu, Armizan menyeru rakyat memperkemaskan butiran peribadi masing-masing melalui Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Jelasnya, langkah itu sangat penting bagi memastikan tiada mana-mana individu tercicir dari menerima manfaat diberikan selain membantu kerajaan menyalurkan bantuan sosial kepada golongan sasar.