Wujudkan lebih banyak institusi TVET untuk anak muda India sertai – Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar lebih banyak tempat disediakan untuk anak muda masyarakat India menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, ia penting dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan itu melalui pendidikan, selain membantu mengatasi masalah sosial.
“Kita (kerajaan) memberi perhatian terutama pada kemiskinan bandar, untuk mengatasi kemiskinan bukan hanya dalam bentuk sokongan kewangan semata-mata, tetapi mesti menggunakan satu proses untuk menstrukturkan semula kedudukan ekonomi melalui pendidikan.
“Biarpun masyarakat Melayu dan bumiputera amat terkesan, usaha untuk melayani semua (kaum) di negara ini mesti terus dipertingkatkan dan kaedah terbaik adalah melalui pendidikan,” katanya pada Majlis Ponggal Perpaduan 2024, hari ini.
Beliau berkata, antara bidang TVET berteknologi tinggi yang dikenal pasti ialah kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan teknologi berkaitan hidrogen yang membolehkan lepasan pelajar TVET mempunyai kemahiran tinggi dan dapat terus bekerja dalam sektor penting.
“Kita telah lakukan kerjasama dengan pemain industri, ertinya pelajar lepasan TVET akan terus bekerja dengan syarikat di Malaysia dan antarabangsa.
“Ini yang telah kita lakukan tetapi kita akan tumpukan juga kepada anak-anak muda masyarakat India dan saya akan pastikan ia dilakukan pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan terus menyantuni permasalahan dalam kalangan kaum berkenaan, selain memastikan anak muda India lepasan sekolah tidak tercicir dalam pendidikan terutama di institusi TVET.
“Kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih dalam TVET dan bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk kita mempromosi TVET yang berdasarkan pendidikan teknologi terbaharu di dunia,” katanya.