Anwar

Agong perkenan lantik Tuan Yang Terutama Sarawak baharu dalam masa terdekat – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa nama calon Tuan Yang di-Pertua Sarawak yang dikemukakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan diumumkan dalam tempoh sehari dua lagi.

Ujar Anwar, lantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu akan dilaksanakan segera dan pemilihan calon bagi jawatan berkenaan bakal dibincangkan pada mesyuarat Kerajaan Perpaduan yang dijadual diadakan malam ini.

“Proses lantikan Yang di-Pertua Negeri adalah budi bicara yang Yang di-Pertuan Agong dan akan diumumkan dalam satu dua hari lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya, hari ini.

Sebelum ini Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang bakal menamatkan penggal pentadbirannya dijadualkan pada 28 Februari 2024.

Wan Junaidi yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi melepaskan jawatan sebagai Speaker Dewan Negara sekali gus mengesahkan ramalan bahawa beliau bakal dilantik ke jawatan Yang di-Pertua Negeri menggantikan Abdul Taib.

Related Articles

Back to top button