Semasa

Dr Wan Azizah cadang ‘community farming’ diperluas, atasi masalah kanak-kanak kurang nutrisi 

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan agar program pertanian komuniti diperluas ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA)

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Community Feeding (PCF) Bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak minggu lalu beliau berkata, langkah itu dapat memupuk dan mengalakkan budaya pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Ia juga jelasnya membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan bekalan sayur-sayuran dengan harga rendah sekaligus membantu mengatasi masalah kurang nutrisi dalam kalangan itu.

“Saya ada mencadangkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin untuk mewujudkan community farming bagi membantu mengatasi permasalahan ini dengan mencari mana-mana tanah yang boleh diusahakan untuk menanam sayur-sayuran yang mudah tumbuh seperti timun atau bendi.

“Walau bagaimanapun, kita perlu juga melihat kepada pengurusan kerana perlu ada badan yang akan bertanggungjawab kerana kita tidak mahu apabila projek ini dilaksanakan kelak ia hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

BACA LAGI: Kerajaan bakal perkukuh Akta 792, perluas skop perlindungan kanak-kanak

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata, PPR Desa Tun Razak telah dipilih sebagai lokasi Program Community Feeding sejak Disember 2022 dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Melibatkan seramai 56 kanak-kanak, lokasi itu jelasnya merupakan satu daripada pusat kajian oleh pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2018.

“Laporan menunjukkan 22% kanak-kanak di bawah lima tahun mengalami masalah bantut dan 15% kanak-kanak mengalami masalah kekurangan berat badan. Malah, sejumlah besar iaitu 97% isi rumah di penempatan ini menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyediakan hidangan yang sihat kepada anak-anak kerana mereka tidak mampu membeli barang makanan, ekoran harga makanan yang tinggi.

“PPR Desa Tun Razak telah dipilih sebagai lokasi bagi pelaksanaan Program PCF kerana ia merupakan salah satu pusat kajian oleh pihak UNICEF pada tahun 2018.

“Program intervensi ini merupakan satu program pemakanan yang menyasarkan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun daripada keluarga miskin bandar dengan menyediakan makanan tambahan (lima kali seminggu) sebagai jaminan kebolehdapatan makanan berkhasiat,” tambahnya.

Dr Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri sementara itu menegaskan, semua inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan perlu melibatkan ibu bapa, keluarga, komuniti, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya hasrat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak dapat dijayakan.

Related Articles

Back to top button