KKDW bakal bantu masyarakat luar bandar daftar PADU secara manual
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) lancar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu KKDW akan mengeluarkan borang bagi membantu masyarakat luar bandar mendaftar dalam secara manual.
“Kita mesti membantu rakyat luar bandar dan desa mendaftar, kita akan lakukan perkara ini secepat mungkin.
“Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan ketua kampung yang dilantik akan dimobilisasikan untuk pendaftaran PADU secara manual,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024, di Shah Alam pada Ahad.
PADU dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas sebagai pangkalan data sosio ekonomi negara bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.
BACA LAGI: 1.54 juta rakyat telah daftar PADU selepas 2 minggu dilancarkan
Ia mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Matlamat PADU pula adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad, melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat dan mengimbangi pembangunan.
Pendaftaran dibuka kepada orang ramai hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.