Semua penjawat awam diarah kemas kini PADU sebelum 15 Februari
Semua penjawat awam diarah untuk mengemas kini maklumat dan data masing-masing menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya 15 Februari depan.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu yang dikongsi di Facebook, hari ini.
“Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 1/2024 pada 14 Januari 2024 meminta supaya semua penjawat awam mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU dengan kadar segera, selewat-lewatnya pada 15 Februari 2024.
“Sehubungan itu, adalah dimohon untuk memastikan seluruh warga kementerian dan agensi melakukan pendaftaran dan pengemaskinian di portal PADU melalui pautan https://padu.gov.my,” katanya menerusi pekeliling itu.
PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.
Serentak dengan tarikh pelancaran itu, sistem PADU dibuka untuk membolehkan rakyat mendaftar dan mengemas kini maklumat individu dan isi rumah.
Objektif PADU adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara.