Mahkamah

Isteri Tun Daim gagal isytihar harta termasuk hartanah

Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Ini termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan kenyataan diambil daripada isteri dan anak-anak lelaki Daim untuk membantu siasatan terhadap Daim.

SPRM turut menjelaskan siasatan ke atas Daim berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan bagi kes itu dibuka pada Februari tahun lalu.

Related Articles

Back to top button