Semasa

PM Anwar rayu sokongan padu rakyat jayakan usaha lawan rasuah

Rakyat Malaysia diseru memberi sokongan dan bersama kerajaan dalam usaha membawa perubahan kepada tatakelola dan usaha mencegah rasuah di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau sangat memerlukan dukungan penuh rakyat tanpa mengira ideologi politik bagi memastikan usaha itu berhasil.

“Saya harap akan dapat (sokongan), kalau tidak ada sokongan dalam politik atau lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tatakekola dan tuntutan ke arah perubahan, saya pohon dukungan penuh rakyat,” katanya ketika berucap pada pelancaran Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya pada Isnin.

Sementara itu, Anwar menegaskan, isu rasuah dan tatakelola tidak baik yang berlaku di negara ini sejak sekian lama telah menyebabkan banyak perkara penting diketepikan termasuk dalam menyalurkan peruntukan kepada sektor pendidikan.

Ia dakwanya berpunca dari puluhan bilion ‘dipunggah’ oleh beberapa tokoh tertentu.

BACA LAGI: Malaysia boleh jadi negara maju, namun rasuah mesti dihapuskan – PM Anwar

Beliau turut mengkritik sesetengah pihak yang berpandangan jawatan perdana menteri atau menteri adalah sebagai batu loncatan untuk mengumpul kekayaan.

“Saya nak tekankan ada orang mengatakan bahawa kecurian berpuluh bilion ringgit ini, kalau mahu jadi perdana menteri, menteri kewangan, menteri-menteri – ukurannya apa kekayaan (mereka), dan ini dianggap (seolah-olah) biasa. Buat apa jadi perdana menteri kalau tak jadi kaya?

“Pandangan hambar, haprak ini mesti diperangi dan kita yang bertanggungjawab, ini bukan sahaja (melibatkan) orang politik (tetapi) seluruh sistem. Kita semua harus pikul tanggungjawab termasuk saya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button