Anwar

PM Anwar umum berita gembira buat warga Kastam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa berita gembira kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan prestasi yang membanggakan dengan pencapaian mengutip cukai melebihi sasaran pada tahun lalu.

Antaranya, pemberian bonus kepada kakitangan dan usaha menaik taraf perumahan kakitangan JKDM.

“Saya hargai dan menaruh keyakinan sebab itu saya boleh beri jaminan bonus tahun ini lebih baik dari sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Anwar hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 dan ketibaan beliau diiringi Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tahun lalu, JKDM mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan tambahan peruntukan awal bagi menambah baik perumahan anggota JKDM untuk tahun 2024 daripada RM20 juta kepada RM50 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi memastikan perumahan buat kakitangannya tidak lagi daif dan uzur selain kerajaan akan terus berusaha untuk membina perumahan baharu buat mereka.

“Sebab itu bagi polis, tentera, Maritim Malaysia dan JKDM, kita akan beri keutamaan kepada perumahan pada tahun 2024 ini. Saya minta ini disegerakan, tidak ikut prosedur tender biasa.

“Perkara ini terpaksa ikut tender kerana kalau ada rundingan, rundingan ini kadangkala ada 10 peratus, 20 peratus itu bocor ke tempat lain.

“Sebab itu proses tender itu harus dipatuhi tapi boleh disegerakan, dipercepatkan. Kalau tandas robek, rosak, takkan nak tunggu tandas siap enam bulan. Itu satu penyeksaan, penderaan tapi boleh disegerakan semua itu,” katanya.

Katanya, bagi tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM2 bilion untuk memperbaiki perumahan penjawat awam termasuk JKDM.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menetapkan sasaran kutipan JKDM sebanyak RM56 bilion bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan kejayaan jabatan berkenaan mengutip hasil melebihi sasaran pada tahun lalu.

Anwar turut yakin sasaran kutipan pada tahun ini akan dicapai dengan semangat luar biasa dipamerkan JKDM.

“Kastam, polis, Maritim Malaysia dan agensi di sempadan, semua kerjasama penting kerana kita berhadapan dengan kelompok rakus, penyeludup canggih dan kehilangan dana akibat penyeludupan, keluar masuk minyak, dadah, rokok, arak cecah puluhan bilion ringgit.

“Saya rasa lebih yakin dengan pimpinan di Kastam dan pasukan yang punya komitmen bahawa kita dapat bersama-sama bukan sahaja kumpul dana lebih baik tapi banteras penyeludupan yang merosakkan negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button