PM arah semak semula sistem prasekolah, mahu asas pendidikan negara diperbaiki
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula sistem prasekolahan dengan memastikan kemudahan tambahan diberi perhatian.
Merujuk kepada kemerosotan prestasi pelajar di negara ini yang dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, Anwar berkata sesuatu perlu dilakukan dari awal bagi meningkatkan kembali mutu pendidikan.
“Kalau kita katakan sebanyak 80 peratus (pelajar) yang masuk pra sekolah dengan kategori berbeza, mungkin 40 peratus baik, selebihnya pertengahan dan sekitar 20 peratus amat lemah. Tak sampai 50 peratus (yang baik).
“Maknanya jika kita bicarakan dalam soal keadilan. Kita sebenarnya melebarkan jurang di antara antara kota, desa dan pendalaman.
“Sebab itu pesan saya, pastikan tahun 2024 kita dapat sediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dapat diberikan kepada semua pelajar dalam negara,” jelasnua.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’, di Universiti Malaya (UM) pada Isnin.
Beliau sementara itu mengakui, infra digital, soal kurikulum masa depan prasekolah masih agak ketinggalan.
Justeru, katanya menerusi Belanjawan Madani 2024 yang memberikan peruntukan terbesar dalam bidang pendidikan, ia perlu bermula dengan asas untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.
“Sekali lagi kita bermula dengan asas. Tahun 2023 kita belanja RM1 bilion untuk perbaiki tandas. Bayangkan kita di dewan yang indah ini tetapi anak-anak kita belajar di sekolah sekolah yang dianggap daif walaupun sekolah itu sekolah hebat,” tambahnya.