Anwar

Suami, isteri dan anak diuji masalah kesihatan dapat perhatian PM Anwar

Nasib lima sekeluarga yang tular di media sosial baru-baru ini selepas kedua-dua ibu bapa yang menjadi tulang belakang keluarga diuji dengan masalah kesihatan, mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim telah menziarahi Arman Othman, 49, menghidap penyakit angin ahmar manakala isterinya, Mazliana Jamaluddin, 39, pula diuji dengan ketumbuhan di kepala.

“Arman dan Mazliana diuji dengan masalah kesihatan yang menyukarkan pergerakan mereka dan keluarga. Saudara Kamil turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan perubatan dan harian mereka sekeluarga.

“Saya mendoakan Arman dan Mazliana dikurniakan afiyah serta diberikan kekuatan oleh Allah SWT sekali gus dapat meneruskan hidup bersama keluarga tersayang,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari di kediaman mereka di Gurun, Kedah pada Isnin.

Anak sulung kepada pasangan itu, Aiman Irfan, 21, pula orang kurang upaya (OKU) sejak kecil.

Dilaporkan, selepas Mazliana menjalani pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI), doktor mengesahkan beliau menghidap ketumbuhan di kepala.

Manakala, Arman yang menjadi tulang belakang keluarga ini dan bekerja di sebuah kilang baja di Gurun secara tiba-tiba telah diserang angin ahmar hingga menyebabkan dirinya tidak berdaya untuk bekerja.

Related Articles

Back to top button