Semasa

30 juta data rakyat Malaysia berjaya didaftar dalam sistem PADU – Mohd Uzir

Seramai 30,076,018 juta orang warganegara Malaysia dan permastautin telah mendaftar kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Perkara itu didedahkan Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin melalui program Agenda AWANI pada Selasa.

“Jadi apa yang ingin saya sampaikan disini, sebenarnya sistem PADU telah berjaya mendaftar sepenuhnya dalam maklumat-maklumat yang kita terima dari berbagai agensi.

“Ia akan menjadi asas kepada program-program pelaksanaan inisiatif baru kerajaan termasuk lah perlaksanaan rasionalisasi subsidi yang juga program yang akan diputuskan oleh kerajaan dalam masa ke semasa,” katanya yang memaklumkan Selangor mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 5,863,817 juta orang diikuti Johor dengan 3,790,108 juta.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.

Merupakan pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan, antara lain ia bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

BACA LAGI: Permasalahan terkait Sistem Maklumat Hospital Bersepadu KKM akan mula diberi perhatian

Sementara itu, Mohd Uzir mengesa rakyat Malaysia melakukan kemas kini maklumat yang telah didaftar masuk oleh sistem PADU

“Data-data yang kita terima pada 2023, 2022, 2021 yang mana status, misalnya alamat, sudah berubah.

“Status dulu ada yang tidak berkahwin sekarang sudah berkahwin, dulu ada yang masih belajar sekarang sudah bekerja.

“Jadi itu sebab sistem ini membuka kepada orang ramai mulai 2 Januari hingga 31 Mac untuk mengemas kini itu,” tambahnya.

Sementara itu menurut laporan media setakat Ahad, hanya 1.3 juta individu telah membuat kemaskini kepada maklumat dalam sistem PADU.

Related Articles

Back to top button