Semasa

Ahli Parlimen PN ke-6 nyata sokongan terhadap PM Anwar

Perikatan Nasional (PN) terus dimalukan apabila hari ini Ahli Parlimen Tanjong Karang, mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Dr Zulkafperi Hanapi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu kenyataan berkata, sokongan itu berkuat kuasa pada Rabu.

“Keputusan ini adalah bertujuan untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen saya terus terbela dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan insfrastruktur dan keperluan setempat.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Zulkafperi merupakan Ahli Parlimen keenam daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar.

Melalui kenyataan sama, turut dijelaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk keluar atau mengkhianati Bersatu.

Sebaliknya, tindakan itu dibuat demi memastikan Parlimen Tanjong Karang bergerak seiring dengan pemerintahan kerajaan pusat yang diketuai oleh Anwar.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan Anwar adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zulkafperi memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada PRU15 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd Yusof dan tiga calon lain dengan majoriti 2,180 undi.

Related Articles

Back to top button