Global

Hentikan hukuman secara menyeluruh sekarang! – Mohamad

Malaysia akan terus berjuang mengikut kemampuan untuk menamatkan ketidakadilan dan ketidaksahan dalam peperangan di negara Palestin, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian pada sesi Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, hari ini.

Katanya, ia berhubung situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin, selain menegaskan bahawa negara tersebut perlu diterima sebagai anggota ke-194 PBB.

“Kami menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak sekarang. Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan peperangan dan menyelamatkan nyawa orang awam.

“Hentikan hukuman secara menyeluruh sekarang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mohamad turut menyatakan pendirian negara bahawa Malaysia menuntut Israel untuk bertanggungjawab ke atas pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa yang jelas dilakukannya.

“Malaysia juga menyambut baik dan menyokong keputusan Afrika Selatan untuk memulakan prosiding perundangan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kami juga dengan tegas menyeru agar Majlis Keselamatan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan rakyat Palestine dengan segera mengadakan gencatan senjata,” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengadakan perbincangan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Kerajaan Hashemite Jordan, H.E. Ayman Safadi.

Antara perkara yang dibincangkan bersama ialah berkenaan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jordan yang sudah sedia terjalin sejak tahun 1965 lagi.

Related Articles

Back to top button