Semasa

Istana Negara buat laporan polis terhadap Chegu Bard

Pihak Istana Negara menafikan dakwaan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin yang menyatakan tiga wakil Perikatan Nasional (PN) mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Selasa.

Menurut Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara, Mohd Husni Yusof, 39, satu laporan polis ke atas Chegu Bard telah dilakukan di Balai Polis Travers, Brickfields Kuala Lumpur.

Katanya, kenyataan dalam video yang dimuat naik ke akaun TikTok bernama Alias Official, mengandungi unsur fitnah dan tidak benar.

“Saya selaku wakil dari pihak Istana Negara, Kuala Lumpur menafikan dakwaan lelaki tersebut dan ianya merupakan satu kenyataan yang tidak tepat.

“Tujuan saya membuat laporan ini untuk mengambil tindakan lanjut daripada pihak polis berkaitan video tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan dakwaan oleh Chegu Bard tersebut.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat dan dikendali oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Dalam perkembangan sama, polis turut menyiasat Himpunan Selamatkan Malaysia yang dihadiri lebih 1,000 orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara sejak pukul 9 pagi pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, perhimpunan tersebut diadakan tanpa sebarang notis atau pemakluman bertulis.

Tambahnya, beberapa peserta perhimpunan turut mempamerkan sepanduk bertulis, ‘Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong’ manakala empat individu telah dikenal pasti memberi ucapan dalam perhimpunan tersebut.

Himpunan Selamatkan Malaysia itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda sokongan kepada himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA).

Related Articles

Back to top button