ekonomi

KUSKOP bakal sediakan kertas strategi perkasa PKS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menyediakan kertas strategi bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu amat diperlukan kerana nilai sumbangan sektor Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatat pada 2022, masih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Sehubungan itu jelasnya, satu siri sesi libat urus telah diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak PKS tentang isu dan cabaran serta cadangan fasilitasi yang diperlukan bagi pemerkasaan PKS.

“Berdasarkan pencapaian prestasi 2022, sumbangan PMKS kepada KDNK adalah sebanyak 38.4 peratus atau RM580.4 bilion manakala jumlah eksport menyumbang 10.5 peratus atau RM144.5 bilion.

“Koperasi pula menjana perolehan sebanyak RM45.5 bilion dan memiliki aset bernilai RM159.6 bilion. Oleh itu, kita perlu merancang strategi-strategi yang boleh menghasilkan impak yang lebih besar kepada sektor keusahawanan di negara ini,” katanya.

Ewon sebelumnya hadir menyampaikan amanat kepada warga kementerian itu pada Majlis Amanat Menteri Tahun 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: KUSKOP salur RM5.09 bilion sebagai bantuan pembiayaan untuk usahawan sepanjang 2023

Ewon sementara itu memaklumkan, kertas strategi itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), April depan.

Ewon juga berkata dalam mengukuhkan ekosistem keusahawanan supaya lebih holistik, Jemaah Menteri telah bersetuju agar ekosistem pembangunan serta kawal selia perniagaan francais, diletakkan di bawah KUSKOP.

Katanya perubahan ini adalah sebagai melengkapkan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), sebagai agensi KUSKOP dalam membangunkan usahawan-usahawan francais negara ini.

Related Articles

Back to top button