Mahathir terdesak untuk terus releven – Penganalisis
Tindakan Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen dianggap tindakan terdesak.
Penganalisis politik, James Chin dari Universiti Tasmania dipetik laporan FMT berkata, cabaran itu hanya tindakan Mahathir untuk terus kekal releven setelah tidak lagi dipilih menjadi wakil rakyat.
Mengulas lanjut cabaran itu, beliau berkata perkara terbaik boleh dilakukan Anwar adalah mengabaikan cabaran dibuat bekas Pengerusi parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
BACA LAGI: Sultan Ibrahim tekad lawan rasuah, hentikan ketidakstabilan politik dicetuskan ‘perenggus’
“Apabila beliau menggesa pilihan raya mengejut diadakan, kebanyakan orang akan geleng kepala dan sedar beliau bercakap seperti ahli politik terdesak.
“Perkara terbaik untuk Anwar dan Malaysia ialah mengabaikan Mahathir.” katanya menurut laporan itu.
Dr Mahathir yang kini penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS yang digelar SG4 sebelumnya melontar cabaran itu pada satu sidang media Isnin sebagai mengulas isu siasatan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) terhadap anak sulungnya Mirzan.