Anwar

Palestin berhak mendapat hak bernegara yang berdaulat – PM Anwar

Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip yakni Palestin mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, menerusi hantarannya di Facebook hari ini, Anwar berkata, hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata telah disampaikan Menteri Luar Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, pada 23 Januari 2024 (semalam).

“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.

“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya.

Anwar berkata, gesaan Malaysia itu seiring dengan kenyataan Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel ke atas undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.

Ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.

Related Articles

Back to top button