Pendudukan Israel mesti ditamatkan – Setiausaha Agung PBB
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menegaskan tindakan kerajaan rejim Zionis menolak penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin, sebagai ‘tidak boleh diterima’, malah ia akan menyemarakkan lagi semangat pejuang di serata tempat.
“Pendudukan Israel mesti ditamatkan,” katanya pada mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung isu yang membelenggu Asia Barat, pada Selasa.
Majlis dibarisi 15 negara anggota itu telah lama mendukung visi ‘dua negara’ terbabit bersama sempadan yang selamat dan diiktiraf. Palestin mahu negaranya merangkumi Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza, iaitu wilayah dirampas Israel pada 1967.
Minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan berkeras mahu menguasai kawalan keselamatan ke atas semua kawasan di barat Sungai Jordan, ia meliputi wilayah Palestin dengan berkata: “Ia bercanggah dengan prinsip kedaulatan tetapi apa yang anda boleh lakukan”.
Sejak perang terkini Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober tahun lalu, rejim Zionis membedil Gaza bertalu-talu sehingga meragut lebih 25,000 nyawa rakyat Palestin, setakat ini, menurut pegawai kesihatan semenanjung itu.
Guterres menekankan, seluruh populasi Gaza sedang mengalami kemusnahan begitu pantas dan pada skala tidak sejajar dalam sejarah kebelakangan ini.
“Tiada apa pun yang boleh menjustifikasikan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin itu,” katanya.
Sementara itu Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, ketika berucap di UNSC pula mendakwa tindakan Netanyahu ‘didorong satu matlamat, iaitu survival politiknya sendiri dengan mengorbankan kelangsungan hidup berjuta rakyat Palestin bawah pendudukan haram Israel, dan keamanan serta keselamatan untuk semua.’
Al-Maliki menegaskan, sudah tiba masanya untuk Negara Palestin diterima masuk sebagai anggota penuh PBB.
Bagaimanapun, langkah itu memerlukan UNSC, di mana sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) memegang kuasa veto membuat cadangan berkenaan kepada Perhimpunan Agung PBB yang dibarisi 193 negara anggota.
“Israel tidak harus lagi melayan ilusi bahawa terdapat jalan ketiga di mana ia boleh memilih untuk meneruskan pendudukan, kolonialisme dan aparteid tetapi kononnya masih mencapai keamanan serta keselamatan serantau,” kata Al-Maliki. – Reuters