Selangor dan Sabah bincang potensi jalin kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan
Kerajaan Negeri Selangor dan negeri Sabah sedang melihat potensi kerjasama terutama dalam bidang keterjaminan makanan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, beliau telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor di pejabat ketua menteri di Kota Kinabalu bagi melihat potensi itu.
“Ini khususnya dalam tanaman bijiran jagung serta ternakan seperti lembu agar kita dapat bersama-sama mengurangkan kebergantungan terhadap barang makanan import.
“Selain itu, ia juga mampu memberikan dampak positif terhadap harga barang makanan mentah,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook.
Selain melihat potensi dalam bidang keterjaminan makanan, kedua-dua pihak turut membincangkan kaedah mengukuhkan ekosistem pelancongan yang mampan serta mempunyai fungsi teknologi digital.
“Saya melihat Sabah sebagai antara negeri yang terkehadapan terutamanya dalam penghasilan produk tempatan seperti kraftangan yang berkualiti tinggi dan berhasrat mengadakan kerjasama dalam bidang ini,” tambahnya.
BACA LAGI: KPKT optimis Program SMART SBB Ala Sekinchan mampu diperluas ke seluruh negara
Terdahulu pada Isnin, Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan telah menuai 118 tan hasil pertama projek jagung bijirin berkualiti tinggi yang dilancarkan di negeri itu pada tahun lepas.
Tuaian itu melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar itu adalah bagi fasa pertama dan dijangka hasil tersebut terus meningkat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim dipetik laporan media berkata, PKPS bercadang untuk memperluaskan tanaman itu dan akan melihat potensi tanah yang ada di sekitar Selangor atau di negeri-negeri lain.