Siasatan SPRM terhadap individu berprofile tinggi bukan bermotifkan dendam- Fahmi
Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana individu yang bergelar Tun dan ahli keluarga mereka, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Merujuk dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa siasatan dilakukan terhadap anak lelakinya serta Tun Daim Zainuddin bermotifkan dendam, Fahmi menegaskan tuduhan seperti itu tidak seharusnya timbul.
Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya telah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada SPRM dalam melakukan sebarang siasatan yang dirasakan wajar, dan mengambil sebarang tindakan berlandaskan undang-undang.
Malah Perdana Menteri juga tegasnya tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan peribadi untuk siasatan dilakukan.
Justeru tegasnya, tidak timbul sebarang isu bermotifkan dendam atas siasatan dijalankan seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
BACA LAGI: SPRM siasat Tan Sri berkait projek selenggara kenderaan kerajaan
“Saya ingat perdana menteri juga telah beberapa kali berkata bahawa ia bukan sesuatu yang bersifat peribadi.
“Dan sekiranya ada sebarang perkara yang melibatkan harta rakyat, wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti, dan ia terpakai kepada semua pihak bukan sahaja individu ataupun satu kelompok.
“.. itu (prasangka) mungkin timbul dari perasaan diri beliau (Dr Mahathir) sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, Fahmi turut membuat gesaan supaya Mahathir melakukan muhasabah terhadap dirinya dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang sengaja boleh menakutkan rakyat.
“Tun Mahathir hilang deposit di Langkawi (pada PRU), Anwar menang di Tambun. Jadi, saya sarankan sebagai negarawan harus muhasabah di hari senja ini.
“Kita harus meninggalkan satu legasi yang murni daripada cuba menakutkan dan mengeluarkan cerita seperti ini. Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya