Global

Delegasi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia jalin hubungan dengan Thailand, beri manfaat kedua-dua pihak

Delegasi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) mengadakan kunjungan hormat kepada pihak Biro Konvensyen dan Pameran Thailand (TCEB), selain bertukar-tukar pengetahuan untuk meningkatkan lagi amalan tempatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, MyCEB menjelaskan ia adalah susulan kejayaan lawatan ke Jakarta baru-baru ini dengan perbincangan mengenai Komuniti Acara Perniagaan (BE) Asean menjadi tumpuan, pihaknya kini memperluas usaha kerjasama kepada TCEB.

Semasa lawatan ke Thailand, MyCEB berkata, pihaknya dan TCEB membentuk hubungan yang memberi manfaat bersama menerusi perbincangan yang produktif.

Di samping itu tambahnya, kedua-dua pihak berkongsi pandangan termasuk mengenai strategi dan kecemerlangan operasi dengan kedua-duanya meneroka peluang untuk kerjasama berkesan antara peserta industri.

MyCEB turut memaklumkan bahawa lawatan itu juga berperanan sebagai susulan penting memperkukuh komitmen untuk memupuk perpaduan dan pertumbuhan serantau dalam industri acara perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik berkata, dalam landskap acara perniagaan yang sentiasa berkembang, penambahbaikan berterusan penting untuk kekal berada di hadapan dalam kemajuan industri.

“Ketika kita memulakan kunjungan hirmat ini yang melangkaui hubungan antarabangsa, matlamat kita bukan sahaja untuk belajar daripada yang antara terbaik di rantau ini malah juga membina jambatan untuk kerjasama.

“Apabila memahami kejayaan dan cabaran yang dihadapi TCEB, kita percaya yang kita boleh meningkatkan keupayaan kita dan mewujudkan perkongsian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, secara tidak langsung menyumbang kepada penubuhan Komuniti Acara Perniagaan Asean pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan hormat itu membuktikan dedikasi MyCEB untuk belajar daripada rakan global dan menggabungkan amalan terbaik untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan kepada pihak berkepentingan.

Related Articles

Back to top button