Kebijakan Malaysia kendali kes Tuntutan Sulu jadi perhatian banyak negara – Azalina
Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan komitmen tidak berkompromi mengenai isu kedaulatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata begitu melalui satu hantaran di laman X sebagai merujuk isu tuntutan Sabah oleh lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang berjaya dipatahkan kerajaan.
BACA LAGI: Malaysia menang kes tuntutan Sulu, berjaya pertahan kepentingan negara
“Banyak negara mengikuti rapat Tuntutan Sulu dan cara pengendalian kita berdepan dengan kes ini.
“Saya telah berkongsi dengan hadirin tadi mengenai kronologi isu Tuntutan Sulu dan perkembangan dari Madrid baru-baru ini di mana penimbang tara yang terlibat dalam angkara ini, Gonzalo Stampa, telah pun dihukum penjara.
“Negara-negara seluruh dunia perlu bekerjasama melihat kepada kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara hasil daripada kes Tuntutan Sulu.
“Ini penting bagi mengelakkan berulangnya isu seperti ini di mana-mana negara,” katanya melalui hantaran itu.
Sebelum ini, lapan warga Filipina telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.
Pada 8 Januari lalu, Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.